Pendapatan yang diperoleh daripada iklan-iklan yang diklik akan disalurkan terus ke akaun Adsense anda. Anda boleh menyemak jumlah pendapatan anda pada bila-bila masa. Sebelum pembayaran dapat dilakukan, terdapat beberapa syarat yang anda perlu anda ikuti. Syarat-syarat pembayaran adalah seperti berikut:
- Anda harus memasukkan nombor PIN (Personal Identification Number) ke dalam akaun Adsense anda.
- Bagi tujuan memastikan kesahihan maklumat serta ketepatan alamat kediaman (alamat pos) anda, pihak Google akan menghantar PIN yang perlu dimasukkan di akaun Adsense anda. PIN ini akan dihantar di dalam bentuk poskad/surat bersaiz 11.4cm x 15.2cm seperti di bawah.Namun begitu, nombor PIN ini hanya akan dihantar kepada anda di dalam tempoh beberapa hari setelah jumlah wang di dalam akaun anda mencapai USD10 buat pertama kalinya. Poskad/surat ini akan dihantarkan menggunakan kiriman pos biasa dan mengambil masa dari 2 hingga 4 minggu bergantung kepada lokasi anda. Perlu diingatkan agar anda memasukkan PIN ini di dalam tempoh 6 bulan setelah ianya dihantar. Jika tidak, akaun Adsense anda akan mengalami risiko untuk ditutup dan wang pendapatan anda akan dikembalikan kepada pengiklan berkenaan.
- Jumlah pendapatan keseluruhan di dalam akaun Adsense anda haruslah melebihi USD100.
- Pihak Google hanya akan menghantar cek kepada anda jika jumlah pendapatan Adsense anda mencapai USD100 ke atas. Masa yang diberikan untuk mencapai jumlah ini adalah tidak terhad. Jika anda adalah seorang pemilik laman, sudah tentu terdapat kos-kos tertentu yang perlu anda tanggung bagi pendaftaran nama domain, "web-hosting" dan sebagainya. Oleh itu, dengan menggunakan Google Adsense pada laman anda, anda boleh menggunakan keuntungan dari iklan-iklan tersebut bagi menampung yuran-yuran laman web anda.

Contoh cek pembayaran daripada pihak Google.
Pembayaran Adsense akan dilaksanakan sekali sebulan. Jika pendapatan anda pada sesuatu bulan tersebut tidak mencapai USD100, jumlah pendapatan tersebut akan dibawa ke bulan berikutnya. Selain itu, anda juga boleh menghentikan penghantaran cek daripada pihak Google kepada anda sehingga anda membenarkannya semula.