
Google Adsense adalah satu program pengiklanan yang telah dilancarkan pada pertengahan 2003 oleh Google, sebuah syarikat gergasi yang bertanggungjawab menghasilkan enjin pencari Google. Di dalam program Google Adsense ini, pihak Google berfungsi sebagai orang tengah yang menghubungkan sejumlah besar pengiklan kepada pemilik-pemilik laman web/blog.
Program Google Adsense ini membolehkan pemilik laman web/blog untuk memaparkan iklan-iklan daripada pihak pengiklan pada laman web mereka. Sekiranya anda seorang pelayar internet yang aktif, anda pasti pernah melihat iklan-iklan Adsense dipaparkan pada laman-laman yang anda lawati. Gambar di bawah adalah salah satu contoh iklan Adsense.
Pemilik laman web/blog kemudiannya akan mendapat sejumlah bayaran bagi setiap klik oleh pengunjung pada iklan-iklan tersebut. Ini bermakna jika anda pernah klik pada iklan-iklan Adsense di dalam sesebuah laman web yang anda lawati, pemilik laman tersebut telah pun dibayar oleh pihak Google! Mudah bukan? Pembayaran ini akan dilaksanakan oleh pihak Google kepada pemilik-pemilik laman web/blog melalui penghantaran cek.
Pemilik-pemilik laman/blog boleh mendaftar untuk program Google Adsense di laman Google Adsense. Untuk ke laman tersebut, anda boleh menaip kata carian "google adsense" pada ruang carian yang disediakan pada bahagian atas kanan laman ini. Sekiranya anda memiliki akaun Google atau akaun Blogger.com, anda boleh log masuk ke akaun Google Adsense anda menggunakan nama pengguna serta kata kunci yang sama. Jika tidak, anda haruslah melalui proses pendaftaran. Pendaftaran bagi program Google Adsense adalah percuma.

